Showing posts with label Cinta Hati Kamu- Sambungan Bahagian 2: Satu Pertemuan. Show all posts
Showing posts with label Cinta Hati Kamu- Sambungan Bahagian 2: Satu Pertemuan. Show all posts

Cinta Hati Kamu: Sambungan Bahagian 2/2: Satu Pertemuan


Perjalanan begitu lancar. Tidak aku sedar, sehinggalah tiba-tiba seorang makcik yang berada disebelah aku mencuit-cuit bahu aku. Menyedarkan aku.

“Dik, dah sampai Rawang ni”.

Makcik separuh umur berbaju kurung bunga-bunga kecil itu tersenyum memandang aku. Aku tertidur separuh perjalanan daripada Tanjung Malim ke Rawang tadi. Aku membalas kembali senyum manis makcik separuh umur itu dan mengucapkan terima kasih. Bingkas bangun dengan segera kerana tren ke Kuala Lumpur Sentral sedang menunggu masa saja untuk bergerak. Kalau terlepas alamatnya aku terpaksa menunggu 15 ke 30 minit untuk tren yang seterusnya. Tidak mahu terlambat, aku mempercepatkan langkah. Aku menoleh ke kanan dan kiri. Makcik separuh umur tadi telah hilang daripada pandangan. Aku sebenarnya masih mamai kerana baru sahaja terjaga daripada tidur separuh perjalanan.

Kerana aku masuk ke dalam tren pada saat-saat kecederaan (kira-kira 10 saat sahaja sebelum tren bergerak), tempat duduk semuanya penuh. Aku mengambil tempat untuk berdiri agak di belakang. Sedikit selesa. Kemudian, tren mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan Stesen Rawang. Aku berpaut kukuh pada satu tiang sambil bersandar. Tren kadang-kadang bergegar tiba-tiba. Terjatuh nanti bikin malu saja.

Sambil berdiri, mataku entah kenapa sekejab pejam sekejab celik. Seketika kemudian terlena lima saat. Aku berusaha untuk mencelikkan mata. Bahaya sebenarnya jika tertidur kalau berada di dalam tren. Bila-bila masa sahaja dompet yang letaknya di poket belakang seluar ini boleh diseluk, dan kemudian hilang. Hidup di kota memang begini. Jangan cuai, dan sentiasalah hati-hati.

Tren bergerak lancar. Baru saja melepasi Stesen Kuang. Penumpang tidak berkurang. Tapi makin bertambah. Tren makin padat, tapi masih ada ruang untuk bernafas. Agak lega sedikit. Pastinya, apabila singgah di Stesen Sungai Buloh, penumpang akan bertambah. Sesuatu yang biasa bagi mereka yang biasa menaiki pengangkutan awam seperti aku. Bak kata pepatah, “Alah Bisa, Tegal Biasa”.

Aku memperkemaskan pegangan dan sandaran pada tiang. Sesekali menunduk, sesekali memandang kelibat manusia yang pelbagai. Ada yang membaca, ada yang termenung seakan memikir sesuatu, ada yang mendengar lagu di MP3, ada yang hanya bertelungu seakan bertakur: tidur barangkali.

Memegang kukuh di tiang yang sama dengan aku seorang anak kecil lelaki, lingkungan umur lebih kurang lima tahun. Ibunya duduk di kerusi bertentangan denganku, sedang memangku adiknya barangkali, yang sedang nyenyak tidur. Anak kecil itu memandang aku dengan anak matanya yang kecil dan berseri. Aku memandangnya kembali, dan melemparkan senyuman yang paling manis. Anak kecil itu membalas senyuman aku juga dengan senyuman yang paling manis. Aku memegang kukuh bahunya, supaya dia tidak terjatuh kerana tren akan berhenti di Stesen Sungai Buloh.

Tren berhenti di Stesen Sungai Buloh. Seperti jangkaan aku, apabila sampai di stesen ini, maka tren akan semakin padat. Peratusan yang keluar adalah amat sedikit berbanding peratusan yang masuk. Anak kecil tadi semakin terhimpit. Aku tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan tersenyum lagi kepadanya.

Aku melihat jam di tangan. Sudah pukul 3.10 petang. Aku menjangkakan akan tiba di Shah Alam pada pukul 5.00 petang..

Tren akan bergerak dari Stesen Sungai Buloh lebih kurang beberapa saat sahaja lagi selepas berhenti kira-kira dua minit. Daripada dalam tren, aku memerhatikan ada beberapa orang lagi yang berlari-lari anak untuk mengejar tren yang hampir sahaja bergerak.

Dalam himpitan manusia yang bersesak di dalam tren, tiba-tiba aku dilanggar oleh seseorang dan aku terjatuh. Anak kecil tadi juga terjatuh. Tapi dia agak malang kerana badannya yang kecil dihujani pula dengan limpahan kira-kira lima buah buku yang tebal-tebal belaka.

Anak kecil tadi cuba bangun. Aku pula bangun terlebih dahulu kerana malu. Selepas bangun, aku mencapai tangan kecil anak tadi untuk membantu dia bangun. Serentak dengan itu, satu lagi tangan halus cuba membantu anak kecil tadi, dan secara tidak sengaja, bukan tangan anak kecil tadi yang ku sambut, tapi tangan yang lagi satu.

Aku memandang ke arah sipemilik tangan tadi setelah melepaskan tangannya. Rupanya milik seorang gadis yang bertudung litup. Dia barangkali baru saja memasuki tren dan oleh kerana tersalah langkah secara tidak sengaja melanggar aku kerana terhimpit dengan himpitan manusia. Dia tidak bersalah.

Dia hanya menunduk berkali-kali. Tanda meminta maaf kerana menyebabkan aku dan anak kecil tadi terjatuh. Aku hanya tersenyum simpul. Malu kerana tersentuh tangannya. Selepas beberapa kali dia menunduk kepada aku, dia menunduk pula ke arah anak kecil tadi yang baru saja bangun selepas dibantu oleh ibunya. Anak kecil tadi seakan mahu menangis. Sakit barangkali kerana terjatuh dan ditimpa oleh buku-buku yang tebal. Ibunya menggosok-gosok beberapa kali kepalanya, memujuk supaya dia tidak menangis.

Gadis itu seakan merasa bersalah, Namun, masih lagi tidak mengeluarkan sepatah pun kata-kata. Dia lantas mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya. Gula-gula rupanya. Tangan halusnya menghulurkan gula-gula tersebut kepada anak kecil tadi, sambil memegang bahu anak kecil itu. Anak kecil itu tersenyum dan menerima gula-gula pemberian gadis itu dengan sinar mata yang girang. Ibunya melemparkan senyuman kepada anak gadis itu. Lega kerana anak lelakinya tidak jadi menangis.

Buku-buku gadis itu masih berselerakan di atas lantai tren. Tren yang bergerak laju, ditambah pula dengan keadaan yang bergoyang-goyang dan juga manusia yang berhimpit-himpit di dalam tren menyukarkannya untuk membongkok dan mengambil kembali buku-buku itu.

Entah kenapa, anak kecil tadi bergerak sedikit ke hadapan, lantas memberi sedikit ruang kepada aku untuk membongkokkan diri dan mencapai buku-buku gadis itu yang berselerakan di atas lantai tren.

Aku mencapai satu persatu buku tersebut dan menghulurkan kepadanya. Dia menyambutnya dengan tangan kanan. Baru aku dapat betul-betul melihat dirinya kerana aku dan dia bertentangan mata. Matanya agak redup, namun anak matanya sangat bersinar. Hanya itu sahaja. Kerana wajahnya ditutupi oleh tudung litup. Aku tidak berani memandang lama-lama kerana aku merasa segan. Aku terus mengutip buku-bukunya yang masih berselerakan di atas tren. Selesai.

Aku kembali berdiri dan memegang tiang tadi. Gadis itu menunduk lagi beberapa kali kepada aku, Tanda terima kasih. Aku tersenyum sekali lagi. Harapnya dia memahami bahawa pertolongan aku tadi adalah ikhlas.

Oleh kerana dia memegang buku-buku yang agak tebal, aku menawarkan diri untuk memegang separuh buku-buku tadi. Bimbang pula dia sekali lagi akan terjatuh. Namun, dia menolak sambil menunjuk kepada peta perjalanan tren yang terpampang di tepi dinding tren.

Selang beberapa saat, pemandu tren mengumumkan bahawa tren akan sampai di Stesen Kepong Sentral tidak lama lagi. Gadis itu memandang aku dan mengangukkan kepala sambil meredupkan anak matanya lagi. Tren berhenti.

Baru aku faham, dia akan berhenti di Stesen Kepong Sentral.

Gadis itu bersusah payah pula berjalan menuju ke pintu tren untuk keluar. Susah kerana tidak ramai yang berhenti di stesen ini.

Akhirnya, gadis bertudung litup itu berjaya juga meloloskan diri dan keluar daripada tren. Entah mengapa, aku merasa lega. Anak mata aku masih terus memerhatikan langkah anak gadis bertudung litup itu. Dia melangkah sederhana laju. Tiba-tiba, dia memandang ke arah aku dari luar, dan sekali lagi menundukkan kepala dan meredupkan anak matanya.

Aku rasa, disebalik tudung litupnya itu, pasti dia sedang menguntum senyuman. Kemudian, dia sedikit-sedikit hilang daripada pandanganku, dan tren pula meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba, anak lelaki kecil tadi menarik-narik sedikit seluar ku. Aku memandangnya. Dia dan ibunya tersenyum. Rupanya, dia dan ibunya sedari tadi memerhatikan keletah aku.

Aku tertunduk malu.

Read Users' Comments (3)

Cinta Hati Kamu: Sambungan Bahagian 2: Satu Pertemuan


Aku mempercepatkan langkah menelusuri tangga untuk ke tren yang agak tidak lama lagi akan bergerak. Sebarang bentuk kelewatan tidak akan dimaafkan kerana tren akan bertolak tepat pada masanya.

Stesen Komuter Tanjung Malim kelihatan lengang. Ketika aku melangkahkan kaki ke dalam tren, cuma ada lebih kurang sepuluh orang sahaja yang sedang duduk. Beginilah kebiasaannya. Namun, apabila sampai ke Stesen Pertukaran Rawang maka bersiap sedialah wahai kaki untuk berdiri. Kadangkala sampai ke stesen KL Sentral terpaksa menahan lenguh dek kerana berdiri dalam kesesakan manusia yang penuh mengisi perut tren. Persis seperti ikan sardin di dalam tin.

Tempat duduk di dalam tren masih banyak lagi yang kosong. Aku memilih tempat duduk di sebelah kanan, barisan kedua dari belakang dan di tepi tingkap. Beg aku letakkan di sebelah tempat dudukku kerana aku merasakan tidak akan ada ramai orang walaupun tren akan melalui beberapa stesen sebelum sampai ke Stesen Komuter Rawang.

Aku melihat keluar cermin, Along dan Nur Aisya sudah tiada. Nur Aisya meragam pula. Mungkin mengantuk, atau mungkin belum mahu berpisah denganku. Along cuma menghantar teks pesanan ringkas yang baru sekejab tadi aku terima, menyuruh aku supaya menelefon kembali setelah sampai di Shah Alam.

Tepat jam 3.45 petang, tren mula bergerak, membawa bersama diri seorang aku yang masih jauh perjalanannya di dunia, dan tentunya yang masih jauh perjalanannya untuk ke akhirat. Tren ini akan melalui empat stesen iaitu Stesen Kuala Kubu Bharu, Stesen Rasa, Stesen Batang Kali, dan juga Stesen Serendah sebelum sampai ke Stesen Pertukaran Rawang. Apabila sampai di Stesen Rawang, aku harus pula bertukar tren untuk ke Stesen Kuala Lumpur Sentral. Tren daripada Rawang pula akan melalui Stesen Kuang, Stesen Sungai Buloh, Stesen Kepong Sentral, Stesen Kepong, Stesen Segambut, Stesen Pertukaran Putra, Stesen Bank Negara, Stesen Pertukaran Kuala Lumpur, sebelum sampai ke Stesen Kuala Lumpur Sentral. Dari Stesen Kuala Lumpur Sentral pula, aku akan bertukar tren sekali lagi untuk ke Shah Alam. Sebelum sampai ke Shah Alam, tren akan melalui Stesen Angkasapuri, Stesen Pantai Dalam, Stesen Petaling, Stesen Jalan Templer, Stesen Kg. Datuk Harun, Stesen Seri Setia, Stesen Setia Jaya, Stesen Subang Jaya, dan Stesen Batu Tiga. Kemudian barulah sampai ke Shah Alam, Bandaraya Anggerik. Jika di kira, dari Tanjung Malim aku harus melalui 22 stesen komuter yang berbeza sebelum sampai ke Shah Alam. Perjalanan dari Tanjung Malim ke Shah Alam dengan menaiki tren sebenarnya mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Itupun jika tren tidak membuat hal. Kadang-kadang (jarang-jarang sekali berlaku) tren akan bergerak secara perlahan-lahan sebelum berhenti selama lebih kurang 10 minit di atas landasan, kemudian barulah mula bergerak kembali.

Aku menutup kembali pamplet “Peta Perjalanan Tren” yang sempat aku ambil semasa membeli tiket tadi. Sungguh, sebenarnya perjalanan aku masih lagi jauh.

Mataku menelurusi terus pemandangan di luar melalui cermin tren. Agak redup dan menyenangkan mata. Melalui tingkap, dapat aku lihat langit biru yang diliputi awan putih kumulus ()yang agak tebal berbentuk seakan-akan seperti rama-rama. Awan putih kumulus berbentuk rama-rama itu menutup seketika pancaran matahari, membuatkan keadaan sekitar menjadi agak redup. Aku begitu terbuai dengan pemandangan indah itu.

Kira-kira 1.5 kilometer selepas melepasi Stesen Rasa, terdapat sederet rumah papan yang tersusun comel. Jelas dapat aku lihat, dalam langkau masa kira-kira lima saat, empat orang kanak-kanak dalam lingkungan usia tujuh ke sepuluh tahun girang bermain layang-layang. Layang-layang kanak-kanak itu terbang agak tinggi, mungkin setinggi impian yang digalas dibahu mereka. Daripada empat layang-layang yang dimainkan, satu daripadanya terbang gelong. Tidak tetap pada kedudukan. Mungkin teraju layang-layang itu tidak sama panjangnya. Jadi, layang-layang itu tidak dapat terbang dengan sempurna. Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada layang-layang dan kanak-kanak itu kerana tren terus meluncur laju menuju ke Stesen Batang Kali.

Melepasi Stesen Batang Kali, awan kumulus putih berbentuk rama-rama yang melindungi cahaya matahari tadi telah hilang. Terik matahari mula menyilaukan pandangan mataku. Aku menurunkan pelindung yang terdapat di tepi cermin tren dan kemudian menyandar pada kerusi dengan lebih kemas.

Tadi semasa makan tengahari bersama Along, ada aku khabarkan kepadanya bahawa masa kini kurasakan semakin singkat dan aku seakan tidak terkejar dek beban tugas dan juga sarjana. Along hanya tersenyum. Tidak berkata apa-apa. Seminit kemudian, baru membuka mulut, berkata tentang satu perkara yang buat aku bingung dan terfikir.

“Abang kahwin sajalah. Ada calon?”

Aku senyum kelat. Memandang Nur Aisya yang tak habis-habis bermain dengan anak patung Spongebob kecil yang baru aku belikan sebentar tadi.

“Bergurau ke?” Sepatutnya aku menjawab, namun kembali bermain kata dan psikologi cuba menelah apa dalam fikiran Along.

Along tidak menjawab. Juga bermain teka-teki. Senyum sinis pula memandang aku. Aku tunduk, Kembali khusyuk untuk menghabiskan baki nasi ayam. Titik. Sampai situ sahaja.

Bersambung……………………..

Read Users' Comments (7)

Cinta Hati Kamu- Bahagian 2: Satu Pertemuan




Bahagian 2

Satu Pertemuan

Hari sudah meninggi. Aku baru terjaga. Tadi selepas subuh aku tertidur. Aku melihat paparan skrin telefon bimbit. Sudah pukul 10.45 pagi. Ada juga dua pesanan ringkas yang belum aku baca.

Dari Syakila rakan sesarjana denganku:

Bonjour (3) Mush’ab. Jangan lupa esok malam jam tujuh ada perbincangan dengan Puan Masitah. Jumpa di fakulti.

Dari Izhar, rakan sekerja denganku:

Bro, Cendolah (4) setuju advertise dengan THE Cook. Baru sekejab tadi wa dapat email. Pakej dua, RM 35,000. Empat keluaran full page! Lu plan satu tagline for this company. Wa belanja lu steamboat nanti. Ini durian runtuh. By the way, wa rasa Aziana secretary Mr Vatu, bos Cendolah sangat hot! Kecil molek sangat sesuai dengan lu.

Ayat terakhir dari Izhar membuatkan aku tersengih lima saat.

Aku menerima berita dari Izhar dengan penuh syukur dan hati yang girang. Ada iklan maknanya hujung bulan akan ada sedikit bonus dari bos. Izhar memang patut gembira. Lima peratus dari jumlah harga iklan tersebut adalah komisyen yang bakal dia terima.

Kedua-dua pesanan ringkas tadi tidak aku balas. Aku keluar dari bilik dan terlihat Nur Aisya sedang nyenyak tidur di dalam buaian. Along tidak pula aku lihat. Rasanya di bilik air, Basuh baju agaknya. Abang iparku, Abang Azfar tiada di rumah. Dia ke Universiti Putra Malaysia, Serdang. Pasukan rugbi sekolahnya menyertai satu kejohanan terbuka bawah 12 tahun di sana. Dia sebagai jurulatih dan salah seorang daripada guru pengiring.

Aku duduk sebentar sambil memerhatikan Nur Aisya yang sedang nyenyak tidur.

Dua hari sudah aku berada di Tanjung Malim. Kerinduan pada Nur Aisya kini terubat sudah. Keletah riangnya begitu menghiburkan aku. Tembam pipinya tidak usai untuk aku geramkan. Lesung pipit yang hanya ada di sebelah kanan pipinya juga begitu menggamit. Gemar pula tertawa, menampakkan dua batang gigi tengah di bahagian bawah yang baru hendak tumbuh. Beratnya kini sudah 5.5 kilogram. Sihat dan begitu ceria. Sepanjang dua hari aku di rumah Along seakan tidak mahu dia berenggang denganku. Selalu sahaja mahu didukung. Jika diletak, dia akan menarik muka dan kemudian menangis, tanpa air mata. Sedih kononnya. Bila didukung, seperti sengaja dia menarik rambutku yang kerinting seakan tidak mahu lepas. Mungkin dia tahu yang aku sangat merindui dirinya yang comel.

Along ada bercerita kepadaku, sejak pandai mengesot Nur Aisya kini tidak lagi terjaga pada tengah malam. Menangis pun sudah kurang. Kerenahnya juga kurang. Kuat menyusu dan tidur pada waktu yang tetap pada tiap-tiap malam, pukul 9.00 malam. Cuma sedihnya akan menjadi tatkala Along ingin menghantarnya ke pusat jagaan pada tiap-tiap pagi. Di pusat asuhan pula, Nur Aisya menjadi puteri kesayangan dari kesayangan, juga kerana tidak banyak kerenah. Along pensyarah di Politeknik Tanjung Malim dan abang iparku, Abang Azfar adalah guru di Sekolah Rendah Rapat Setia, Ipoh. Jadi, mahu tak mahu Nur Aisya terpaksa dihantar ke pusat asuhan. Cuma kadangkala sahaja tidak. Dua minggu sekali barangkali kerana emak akan datang menjenguk. Rindu kata emak. Along melarang emak datang selalu. Bukannya apa, perjalanan dari kampungku ke Tanjung Malim bukanlah dekat bagi mereka yang seusia dengan emak. Namun emak berdegil juga. Nur Aisya cucu sulung dalam keluargaku. Masakan dia tidak menjadi kesayangan.

“Makan tengahari di luar saja. Along malas nak ke dapur. Kemudian terus ke stesen komuter ya?”

Along muncul dari bilik air membawa sebaldi pakaian yang baru di cuci. Aku tersenyum mengiyakan kata-kata Along.

“Meh baju tu. Aku jemurkan. Along duduk rehat sekejab”, aku menawarkan diri untuk membantu. Kesian pula melihat Along. Nampak agak penat. Along lantas menyerahkan baldi berisi pakaian kepadaku, kemudian duduk di atas kerusi malas merehatkan diri. Nur Aisya masih tidur. Aku ke luar rumah sambil membawa baldi berisi pakaian untuk di ampaian.

“Along, makan di Kedai Nasi Ayam dekat UPSI ya? Kepingin benar ni”!, aku bersuara sambil menjemur pakaian.

“Boleh aja dong!,” Along membalas dengan nada bergurau.

Hari agak panas. Aku menjemur kain sambil menyapu keringat yang menitis di dahi. Dari dalam rumah, ku dengar Nur Aisya mula bersuara. Barangkali sudah terjaga daripada lena. Bagus juga. Sekurang-kurangnya aku masih ada masa untuk bermain dengannya seketika. Masih ada lebih kurang tiga jam sebelum aku bertolak. Masa yang agak singkat, jika dikirakan yang aku mungkin tidak akan ketemu dengannya dalam jangka dua sebulan daripada sekarang.

Tesis belum siap. Peperiksaan akhir juga tidak lama akan menjengah. Artikel untuk The COOK juga harus dihantar kerana aku terikat dengan tarikh “dateline”. Hujung tahun Encik Izat ada memberitahu kepada aku bahawa dia mahu aku membantunya untuk kajian berkaitan aplikasi HACCP (4) di kantin sekolah seluruh Malaysia. Aku harus membantunya mengumpul seberapa banyak sampel (5) untuk kajian tersebut. Aku gembira kerana hidupku penuh riang tawa dengan kesibukan. Cuma aku agak kesal kerana dua perkara. Pertama, hobi dan aktiviti casting (6) terpaksa aku tinggalkan. Kedua, entah mengapa aku merasa dalam hidupku ada seperti ruang yang begitu kosong. Sungguh, aku tidak mengerti dan amat-amat tidak pasti.

Bersambung………………………..


Read Users' Comments (6)