Cinta Hati Kamu: Sambungan Bahagian 2/2: Satu Pertemuan


Perjalanan begitu lancar. Tidak aku sedar, sehinggalah tiba-tiba seorang makcik yang berada disebelah aku mencuit-cuit bahu aku. Menyedarkan aku.

“Dik, dah sampai Rawang ni”.

Makcik separuh umur berbaju kurung bunga-bunga kecil itu tersenyum memandang aku. Aku tertidur separuh perjalanan daripada Tanjung Malim ke Rawang tadi. Aku membalas kembali senyum manis makcik separuh umur itu dan mengucapkan terima kasih. Bingkas bangun dengan segera kerana tren ke Kuala Lumpur Sentral sedang menunggu masa saja untuk bergerak. Kalau terlepas alamatnya aku terpaksa menunggu 15 ke 30 minit untuk tren yang seterusnya. Tidak mahu terlambat, aku mempercepatkan langkah. Aku menoleh ke kanan dan kiri. Makcik separuh umur tadi telah hilang daripada pandangan. Aku sebenarnya masih mamai kerana baru sahaja terjaga daripada tidur separuh perjalanan.

Kerana aku masuk ke dalam tren pada saat-saat kecederaan (kira-kira 10 saat sahaja sebelum tren bergerak), tempat duduk semuanya penuh. Aku mengambil tempat untuk berdiri agak di belakang. Sedikit selesa. Kemudian, tren mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan Stesen Rawang. Aku berpaut kukuh pada satu tiang sambil bersandar. Tren kadang-kadang bergegar tiba-tiba. Terjatuh nanti bikin malu saja.

Sambil berdiri, mataku entah kenapa sekejab pejam sekejab celik. Seketika kemudian terlena lima saat. Aku berusaha untuk mencelikkan mata. Bahaya sebenarnya jika tertidur kalau berada di dalam tren. Bila-bila masa sahaja dompet yang letaknya di poket belakang seluar ini boleh diseluk, dan kemudian hilang. Hidup di kota memang begini. Jangan cuai, dan sentiasalah hati-hati.

Tren bergerak lancar. Baru saja melepasi Stesen Kuang. Penumpang tidak berkurang. Tapi makin bertambah. Tren makin padat, tapi masih ada ruang untuk bernafas. Agak lega sedikit. Pastinya, apabila singgah di Stesen Sungai Buloh, penumpang akan bertambah. Sesuatu yang biasa bagi mereka yang biasa menaiki pengangkutan awam seperti aku. Bak kata pepatah, “Alah Bisa, Tegal Biasa”.

Aku memperkemaskan pegangan dan sandaran pada tiang. Sesekali menunduk, sesekali memandang kelibat manusia yang pelbagai. Ada yang membaca, ada yang termenung seakan memikir sesuatu, ada yang mendengar lagu di MP3, ada yang hanya bertelungu seakan bertakur: tidur barangkali.

Memegang kukuh di tiang yang sama dengan aku seorang anak kecil lelaki, lingkungan umur lebih kurang lima tahun. Ibunya duduk di kerusi bertentangan denganku, sedang memangku adiknya barangkali, yang sedang nyenyak tidur. Anak kecil itu memandang aku dengan anak matanya yang kecil dan berseri. Aku memandangnya kembali, dan melemparkan senyuman yang paling manis. Anak kecil itu membalas senyuman aku juga dengan senyuman yang paling manis. Aku memegang kukuh bahunya, supaya dia tidak terjatuh kerana tren akan berhenti di Stesen Sungai Buloh.

Tren berhenti di Stesen Sungai Buloh. Seperti jangkaan aku, apabila sampai di stesen ini, maka tren akan semakin padat. Peratusan yang keluar adalah amat sedikit berbanding peratusan yang masuk. Anak kecil tadi semakin terhimpit. Aku tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan tersenyum lagi kepadanya.

Aku melihat jam di tangan. Sudah pukul 3.10 petang. Aku menjangkakan akan tiba di Shah Alam pada pukul 5.00 petang..

Tren akan bergerak dari Stesen Sungai Buloh lebih kurang beberapa saat sahaja lagi selepas berhenti kira-kira dua minit. Daripada dalam tren, aku memerhatikan ada beberapa orang lagi yang berlari-lari anak untuk mengejar tren yang hampir sahaja bergerak.

Dalam himpitan manusia yang bersesak di dalam tren, tiba-tiba aku dilanggar oleh seseorang dan aku terjatuh. Anak kecil tadi juga terjatuh. Tapi dia agak malang kerana badannya yang kecil dihujani pula dengan limpahan kira-kira lima buah buku yang tebal-tebal belaka.

Anak kecil tadi cuba bangun. Aku pula bangun terlebih dahulu kerana malu. Selepas bangun, aku mencapai tangan kecil anak tadi untuk membantu dia bangun. Serentak dengan itu, satu lagi tangan halus cuba membantu anak kecil tadi, dan secara tidak sengaja, bukan tangan anak kecil tadi yang ku sambut, tapi tangan yang lagi satu.

Aku memandang ke arah sipemilik tangan tadi setelah melepaskan tangannya. Rupanya milik seorang gadis yang bertudung litup. Dia barangkali baru saja memasuki tren dan oleh kerana tersalah langkah secara tidak sengaja melanggar aku kerana terhimpit dengan himpitan manusia. Dia tidak bersalah.

Dia hanya menunduk berkali-kali. Tanda meminta maaf kerana menyebabkan aku dan anak kecil tadi terjatuh. Aku hanya tersenyum simpul. Malu kerana tersentuh tangannya. Selepas beberapa kali dia menunduk kepada aku, dia menunduk pula ke arah anak kecil tadi yang baru saja bangun selepas dibantu oleh ibunya. Anak kecil tadi seakan mahu menangis. Sakit barangkali kerana terjatuh dan ditimpa oleh buku-buku yang tebal. Ibunya menggosok-gosok beberapa kali kepalanya, memujuk supaya dia tidak menangis.

Gadis itu seakan merasa bersalah, Namun, masih lagi tidak mengeluarkan sepatah pun kata-kata. Dia lantas mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya. Gula-gula rupanya. Tangan halusnya menghulurkan gula-gula tersebut kepada anak kecil tadi, sambil memegang bahu anak kecil itu. Anak kecil itu tersenyum dan menerima gula-gula pemberian gadis itu dengan sinar mata yang girang. Ibunya melemparkan senyuman kepada anak gadis itu. Lega kerana anak lelakinya tidak jadi menangis.

Buku-buku gadis itu masih berselerakan di atas lantai tren. Tren yang bergerak laju, ditambah pula dengan keadaan yang bergoyang-goyang dan juga manusia yang berhimpit-himpit di dalam tren menyukarkannya untuk membongkok dan mengambil kembali buku-buku itu.

Entah kenapa, anak kecil tadi bergerak sedikit ke hadapan, lantas memberi sedikit ruang kepada aku untuk membongkokkan diri dan mencapai buku-buku gadis itu yang berselerakan di atas lantai tren.

Aku mencapai satu persatu buku tersebut dan menghulurkan kepadanya. Dia menyambutnya dengan tangan kanan. Baru aku dapat betul-betul melihat dirinya kerana aku dan dia bertentangan mata. Matanya agak redup, namun anak matanya sangat bersinar. Hanya itu sahaja. Kerana wajahnya ditutupi oleh tudung litup. Aku tidak berani memandang lama-lama kerana aku merasa segan. Aku terus mengutip buku-bukunya yang masih berselerakan di atas tren. Selesai.

Aku kembali berdiri dan memegang tiang tadi. Gadis itu menunduk lagi beberapa kali kepada aku, Tanda terima kasih. Aku tersenyum sekali lagi. Harapnya dia memahami bahawa pertolongan aku tadi adalah ikhlas.

Oleh kerana dia memegang buku-buku yang agak tebal, aku menawarkan diri untuk memegang separuh buku-buku tadi. Bimbang pula dia sekali lagi akan terjatuh. Namun, dia menolak sambil menunjuk kepada peta perjalanan tren yang terpampang di tepi dinding tren.

Selang beberapa saat, pemandu tren mengumumkan bahawa tren akan sampai di Stesen Kepong Sentral tidak lama lagi. Gadis itu memandang aku dan mengangukkan kepala sambil meredupkan anak matanya lagi. Tren berhenti.

Baru aku faham, dia akan berhenti di Stesen Kepong Sentral.

Gadis itu bersusah payah pula berjalan menuju ke pintu tren untuk keluar. Susah kerana tidak ramai yang berhenti di stesen ini.

Akhirnya, gadis bertudung litup itu berjaya juga meloloskan diri dan keluar daripada tren. Entah mengapa, aku merasa lega. Anak mata aku masih terus memerhatikan langkah anak gadis bertudung litup itu. Dia melangkah sederhana laju. Tiba-tiba, dia memandang ke arah aku dari luar, dan sekali lagi menundukkan kepala dan meredupkan anak matanya.

Aku rasa, disebalik tudung litupnya itu, pasti dia sedang menguntum senyuman. Kemudian, dia sedikit-sedikit hilang daripada pandanganku, dan tren pula meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba, anak lelaki kecil tadi menarik-narik sedikit seluar ku. Aku memandangnya. Dia dan ibunya tersenyum. Rupanya, dia dan ibunya sedari tadi memerhatikan keletah aku.

Aku tertunduk malu.

Read Users' Comments (3)

3 Response to "Cinta Hati Kamu: Sambungan Bahagian 2/2: Satu Pertemuan"

  1. Opah Vogue says:
    June 28, 2010 at 10:23 PM

    waaa...
    gagagaga...
    seb bek xde dlm tren 2,kalo ade konpem akn snap pix ms pgang tgn 2...

    :D

  2. SiHatiMerah says:
    June 29, 2010 at 1:59 AM

    Nice story..cepat lah sambung,huhu..oh,keadaan dlm train mcm 2 hari2 ku lalui=)nasib hanya 3stesen je.

  3. semut lelabah says:
    June 29, 2010 at 11:57 PM

    gadis biasa: heheh.. sempat snap ye?
    ziela: tunggu ahad.. hhihi.. selalu kalau aku balik tanjung malin mmmg gitu a.. huhu