Cinta Hati Kamu- Sambungan Bahagian 1: Seorang Aku

Pukul enam pagi tepat, bunyi jam loceng yang aku setkan sebelum tidur semalam mengejutkan aku. Mata terbuka sebelah. Tangan kanan kemudian menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tangan kiri kemudian menarik kembali bantal untuk dipeluk. Selimut entah ke mana. Mata yang sebelah terbuka tadi kemudian kembali tertutup.

“Bangun Mush’ab, Yang Esa sedang menunggu engkau untuk menghadap”, bisikan halus arwah datuk tiba-tiba terngiang-ngiang di benak telingaku. Mata yang tadi terpejam rapat, mula terbuka sedikit. Bantal ku lempar ke tepi. Tangan kemudian menongkat permukaan tilam dan aku membangunkan diri. Otak masih dalam keadaan separa sedar. Aku bangun dari katil dan kemudian mencapai tuala yang tersangkut di dinding dan kemudian bergegas ke bilik mandi.

Dingin air kolah begitu menyegarkan. Terasa benar nikmat air yang mencurah ke badan. Kalau di bandar, masakan ada air sedingin ini. Sungguh, mandi menggunakan air daripada kolah berbeza benar dengan mandi daripada “air pili hujan”. Aku terasa begitu segar. Namun tidak boleh lama dibuai dek kesegaran air yang mencurah ke badan kerana solat subuh belum aku kerjakan. Agak lebih kurang sahaja aku menyegarkan diri, dan kemudian tuntas aku mengelap badan. Mengambil wuduk dan keluar dari bilik mandi. Sampai di bilik, ku sambar kemeja bersih yang lusuh berwarna biru gelap yang setia tergantung, menyarungkan kain pelikat, lantas kubentangkan sejadah ke arah kiblat, dan aku mengadap Tuhan Yang Maha Esa buat kesekian kalinya.


Read Users' Comments (0)

0 Response to "Cinta Hati Kamu- Sambungan Bahagian 1: Seorang Aku"