Cinta Hati Kamu- Bahagian 1: Seorang Aku



Bahagian 1

Seorang Aku

Di keheningan malam, 3 Januari 2010. Dengan berteman angin malam yang dingin, bulan terang, kerdipan bintang dan kadangkala gigitan sang penghisap darah, seorang aku berkelana sendirian di atas bumbung zink rumah papan berusia seabad. Mengenang akan perjalanan selama 24 tahun di atas muka bumi Allah. Masih adakah jawapan kepada persoalan yang aku cari-cari selama ini?

Mata kembali merenung kepada bulan. Hati mula merisik khabar akan betapa beningnya malam dingin itu. Pungguk mula menyanyi, cengkerik sahut-sahutan. Malam dingin sungguh tidak sunyi. Suara alam begitu damai. Damai yang mungkin tidak akan ada di kota besar. Atap zink terasa semakin sejuk. Menyucuk sehingga ke tulang sum-sum. Namun punggung masih belum mahu bangun. Biar berdiri bulu romaku menahan sejuk, biar lenguh kakiku kerana menyerap akan sejuk zink. Suasana begini hanya mungkin tiga bulan sekali akan ku kecap. Akan ku nikmati betul-betul akan hawa sejuk ini.

Namaku Mush’ab bin Aziz. Arwah datuk memberi nama tersebut kepadaku kerana mengambil berkah akan sahabat ulung Rasulallah S.A.W, Mush’ab bin Umeir yang menjadi utusan pertama baginda ke Madinah untuk mengajar penduduk di sana tentang Islam. Arwah datuk amat mengagumi Mush’ab bin Umeir sebagai seorang mujahidin ulung. Mush’ab bin Umeir yang hidup pada zaman Rasulallah merupakan seorang pria idaman gadis-gadis Makkah, datang dari keluarga baik dan ternama, dan beliau dilimpahi dengan limpahan harta dan kemanjaan yang berlebihan. Selain itu, beliau merupakan seorang anak muda yang berfikiran cerdas. Segala buah fikirannya menjadi perhatian dan disetiap pertemuan dengan teman-teman, beliau menjadi pemecah kebuntuan kepada setiap persoalan yang dikemukan.

Namun, segala itu ditinggalkannya apabila ia diberi hidayah untuk menerima Islam. Mengambil berkah daripada kesungguhan Mush’ab bin Umeir menyebarkan Islam, maka arwah datuk yang merupakan imam dan guru agama di surau kampungku menamakanku Mush’ab, dengan harapan aku akan menjadi seorang pendakwah yang akan meneruskan legasinya untuk terus menyebarkan Islam. (1)

Namun, aku bukanlah datuk. Gen tipikal Melayu yang tebal masih menyelaputi diriku. Hari-hari kecilku memang penuh warna-warni. Pagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Relang, Batu Kurau Perak dan petang belajar agama di sekolah agama rakyat juga di Kampung Relang. Kadangkala nakal curi-curi melarikan diri dari sekolah agama rakyat apabila sessi pembelajaran pertama berhenti seketika untuk rehat dan solat Asar. Kawan baikku ketika itu, Shamir namanya akan menunggu di tingkat bawah yang hampir benar dengan semak samun (kerana kelasku ditingkat dua) untuk menyambut beg kami yang akan aku lempar. Dan Shamir dengan dua beg galas berisi buku latihan yang kebanyakannya bertulis jawi akan melarikan diri, diikuti oleh aku. Ke mana aku dan Shamir? Kami akan ke tempat kerbau berkubang dimana ada lopak-lopak air bekas tapak kaki kerbau. Mencari apa? Kami mencari ikan laga. Pernah sekali terserempak dengan ular tedung selar sedang melingkar. Maka bertempiaran aku dan Shamir melarikan diri. Seliparku putus, hilang atau tenggelam di dalam lopak. Balik ke rumah sudah hampir waktu Maghrib. Emak melihat badanku yang berselut tanpa banyak soal terus melibas tali pinggang pusaka ayah ke belakangku. Menggeletik aku menahan sakit, namun dalam hati berkata “Inilah balasan Tuhan. Rasakan!” Shamir kini setahu aku bekerja dengan Pos Malaysia. Posmen barangkali. Sudah kira-kira lima tahun aku tidak ketemu dia.

Dan, dengan cara pembelajaran yang ala-ala, aku mendapat keputusan yang ala-ala juga dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Dengan keputusan ala-ala itu, aku bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Batu Kurau Perak. Masuk ke alam remaja, maka warna-warni hidup tidaklah seceria warna pelangi…

“Abang, dah pukul satu pagi! Cepat turun. Nanti sakit macam mana? Esok mahu berangkat bukan?”.

Sayup-sayup emak memanggil aku dari dapur, terus sama sekali membantutkan lamunan yang ku kira tak akan ada sudahnya jika disambung. Barulah terasa dada sedikit sesak, dek kerana hawa malam yang memenuhi ruang dada. Aku bingkas bangun. Kemudian menyapu debu-debu pada zink yang melekat pada seluar. Mata kembali memandang ke arah sinaran sang bulan. Burung-burung malam masih ada yang berterbangan. Terang sungguh kerana bulan mengambang penuh. Bintang masih setia menghiasi dada langit. Satu jaluran cahaya tiba-tiba laju meluncur laju ke arah utara. Tahi bintang! Hatiku mendesah supaya membuat hajat. Propa rakan-rakan sekuliahku dulu, apabila melihat tahi bintang maka buatlah permintaan. Aku tidak pasti akan dari mana datangnya idea tersebut, namun bagiku semua itu adalah karut.

Sesaat sahaja kiranya aku dapat melihat jaluran tahi bintang tersebut. Kemudian, kaki ku hayunkan berhati-hati supaya tidak tergelincir ketika menuruni bumbung yang condong. Agak lebih kurang tiga meter maka aku sampai ke tangga kecil khas yang menghubungkan bumbung tempat aku mengelamun dengan beranda rumah. Aku menuruni tangga kecil dengan hati-hati. Ada lima anak tangga kesemuanya. Turun ke beranda dan kemudian ke dapur. Angin sejuk buat aku rasa lapar dan harap ada sesuatu di dapur yang boleh aku mengisi perut. Buka tudung saji, ada beberapa ketul ubi rebus yang masih panas. Secawan kopi yang panas dan bertutup ada juga terhidang. Hati membungkam gembira. “Terima kasih emak”, hati aku berbisik riang.

Read Users' Comments (5)

5 Response to "Cinta Hati Kamu- Bahagian 1: Seorang Aku"

  1. cued's corner says:
    June 2, 2010 at 1:46 AM

    wow!! gud start geng...bile plak nak post story seterusnya?t update ngan aku k.

  2. semut lelabah says:
    June 2, 2010 at 2:06 AM

    story seterusnya akan di pos setiap ahad yer.. :)

  3. SuZzANnE says:
    June 2, 2010 at 5:37 PM

    giler hebat ko...pasni leh cari publisher..dpt duit ooo

  4. semut lelabah says:
    June 2, 2010 at 6:32 PM

    jangan lupa baca n promote kepada kengkawan.. :) ak perlukan support daripada kamu semua.. :)
    Cerita baru akan keluar setiap ahad...

  5. juMa says:
    July 2, 2010 at 11:44 AM

    menarik ni.. ;)