Sambungan Bahagian 1 (2) : Seorang Aku


Hari ini sebenarnya aku perlu berangkat ke Tanjung Malim, ke rumah akak sulungku sebelum terus ke kota besar Shah Alam. Aku tidak boleh lambat. Kerana kalau lambat maka aku akan kepenatan kerana hari yang makin menginjak ke tengahari akan membuatkan aku letih. Lagipun, hatiku makin melonjak untuk melihat teletah anak buahku nan seorang, Nur Aisya yang baru hendak pandai mengesot. Lapan bulan umurnya. Aduh, terasa rindu benar kerana aku hanya berkesempatan melihatnya dua bulan lepas. Itupun sekejab cuma. Tidak sampai sehari kerana aku perlu kembali ke Shah Alam. Beban tugas yang semakin menghimpit dan masa ku rasakan begitu cemburu terhadapku.

Jam menunjuk ke angka 7.33 pagi. Emak masih sibuk di dapur menyediakan sarapan. Tingkap bilik ku buka luas-luas. Langsir pada tingkap aku ingat kemas. Udara pagi yang begitu nyaman. Dari tingkap bilik aku perhatikan kabus masih menebal di sebalik cahaya sang mentari yang mula menampakkan sinar. Ada dua ekor burung pipit yang berterbangan dan hinggap di dahan pokok manggis yang terletak berhadapan dengan bilikku. Dua ekor burung pipit tadi bersiul riang mengalunkan irama yang merdu. Sungguh asyik. Baru aku sedar, rupanya di dahan pokok manggis tersebut rupanya sepasang pipit tadi bersarang. “Mungkin pengantin baru agaknya”, hatiku mendesah kerana terasa sedikit lucu.

Aku membungkamkan diri kembali ke katil. Mata terasa makin berat dan aku hampir terlena. Agak kira-kira lima minit aku begitu.

“Abang, cepat sarapan. Nanti lambat. Cepat siap nanti mak hantar ke stesen teksi”, panggilan emak dari dapur sekali lagi mengejutkan aku.

Aku tidak harus terus bungkam begini. Masa begitu cemburukan aku, atau aku yang kurang pandai menguruskan masa. Aku bersiap ala kadar. Menyarungkan jeans hitam dan t-shirt coklat gelap hadiah dari adik bongsuku ketika hari lahirku yang ke 23. Rambut aku rapikan. Kemudian terus ke dapur untuk bersarapan. Gembira sungguh rasa hati apabila emak menyediakan nasi lemak dan sambal ikan bilis untuk sarapan pagi ini. Aku lupa dunia seketika.

………………..

Tepat pukul 9.00 pagi aku sampai ke Stesen Bas Ekspress Kamunting. Aku ada dua pilihan untuk ke Tanjung Malim, sama ada naik bas ke Medan Kid Ipoh, dan kemudian dari sana akan bertukar bas untuk ke Tanjung Malim. Ataupun, dari Stesen Bas Kamunting, aku mengambil bas ekspress untuk ke Kuala Lumpur, dan berhenti di Perhentian Rehat dan Rawat Behrang. Dua pilihan yang ada baik dan buruknya. Pilihan pertama, tiketnya jauh lebih murah namun lambat pula sampai malahan lebih meletihkan. Pilihan kedua, tiketnya agak mahal kerana adalah tiket ke Kuala Lumpur, namun sampainya lebih cepat dan tidak meletihkan.

Aku berfikir sejenak lebih kurang dua minit. Tiada apa yang perlu difikirkan sangat rasanya. Aku terus melangkahkan kaki ke kaunter tiket Konsortium Bas Express Semenanjung, dan aku beli tiket untuk ke Kuala Lumpur. Mudah dan cepat. Berhenti di R & R Behrang dan Along akan mengambil aku di sana.

Bas akan bertolak jam sepuluh. Aku melihat jam di tangan. Masih ada 15 minit sebelum aku menaiki bas. Duduk sebentar. Melihat pelbagai karenah manusia. Di kiri tempat aku duduk ada sepasang kasih sedang berpacaran, berpegangan tangan. Di kanan, ada seorang makcik dalam lingkungan empat puluhan. Beg di sebelahnya yang berwarna biru tua agak besar. Mungkin ke bandar untuk melawat anak cucu. Makcik itu tersenyum kepadaku. Aku membalas dengan senyum mesra. Di depanku, ada seorang pemuda berkemeja kotak-kotak kelihatan agak gelisah. Asyik melihat jam di tangan. Dan sekejab-sekejab bercakap ditelefon. Kelihatannya seperti menunggu seseorang. Kemudian dia berlalu, lama-lama hilang dari pandanganku. Ada pula sekumpulan anak muda belasan tahun dengan “skinny jeans” dan baju hitam ketat bertulis “Skin Head Vever Die” berlambakan di tepi di salah satu kaunter tiket bas yang keraninya adalah perempuan muda yang comel. Aku tertawa sendirian kerana ejaan pada baju itu adalah salah. “Never” disalah eja menjadi “Vever”. Makcik di sebelahku memandang dengan pandangan yang sinis. Aku menelah. Mungkin dalam hatinya berkata, “Alangkah baiknya kalau seorang-seorang daripada mereka ini dapat aku lempang!” Aku tersenyum lagi. Itu bukan kata hati makcik tadi, namun adalah kata-kata hati aku sendiri.

15 minit berlalu. Aku melangkahkan kaki ke dalam bas. Mencari tempat duduk bernombor 13. Di tengah-tengah. Aku lantas duduk. Sebentar lagi bas akan bertolak. Kelihatan bas sudah penuh dan tempat disebelahku adalah kosong. Tiada orang.

Dari dalam beg pakaian, aku keluarkan buku Food Safety and Fundamentals, karangan David McSwane, Nancy R.Rue, Richard Linton dan Anna Graff Williams. Buku yang menjadi rujukan sejak aku dalam peringkat pengajian diploma lagi.

Aku adalah pelajar Sarjana dalam Bidang Pengurusan Perkhidmatan Makanan di Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan mengkhususkan pengajian dalam bidang keselamatan makanan dan juga nutrisi. Dua cabang dalam bidang perkhidmatan makanan yang agak penting aku rasakan kerana tingkat kesedaran masyarakat negara kita dalam bidang ini, terutamanya keselamatan makanan masih lagi rendah. Aku amat mengesali situasi ini kerana saban hari kes keracunan makanan sentiasa meningkat, dan terus meningkat.

Selain bergelar seorang pelajar peringkat sarjana, aku juga merupakan seorang journalis tetap untuk sebuah majalah berkonsepkan pendidikan dalam bidang makanan, The COOK (C.O.O.K adalah singkatan kepada frasa Citarasa Orang-orang Kita).

Aku agak lemah dalam aspek praktikal. Namun dari segi teori aku agak cepat menangkap, Walaupun kadang-kadang selalu juga aku tidur secara sengaja atau tidak di dalam kelas. Oleh kerana itu, aku merasakan bidang penulisan begitu sebati dengan jiwaku. Kira-kira lima bulan selepas bekerja di The COOK, aku mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan syukur sekali bosku tidak menghalang, asalkan aku pandai membahagi masa. Setakat ini semuanya lancar.

Bas mula bergerak perlahan lahan. Aku selak halaman demi halaman buku Food Safety and Fundamentals. Aku perlu sentiasa membuat ulangkaji. Untuk penulisan dan juga tesis pengajian sarjana. Selalu sahaja aku terlepas pandang akan info-info berguna yang boleh aku muatkan dalam penulisan mahupun tesisku. “Perlu PEKA, bukan PEKAK”, kata-kata tutor ku, Encik Izat Hasan Basri sentiasa bermain di telingaku. Kata-kata itu beliau hamburkan semasa aku mengelamun secara tidak sengaja dalam masa dua minit ketika beliau sedang memberi komen berkenaan isi kandungan tesisku. Pedih dan sejak itu fokusku 150 peratus ketika membentangkan isi kandungan tesisku kepada beliau.

Bas bergerak semakin laju selepas melewati Tol Simpang , Taiping. Aku mengintai keluar sejenak. Pokok-pokok bunga yang menghiasi di sepanjang beberapa kilometer pertama lebuhraya begitu mendamaikan hati. Sempat juga aku menjeling dan membaca beberapa papan iklan. Aku kembali menyandar pada kusyen kerusi. Terasa agak lembut dan selesa. Mata tiba-tiba terasa begitu berat. Buku Food Safety and Fundamentals mula tertutup rapat, serapat mataku yang mula terpejam. Seminit kemudian, aku hilang dalam khayalan yang tiada mimpi, kerana tidur di siang hari.

............ Bahagian 1: Seorang Aku selesai..................

Read Users' Comments (4)

4 Response to "Sambungan Bahagian 1 (2) : Seorang Aku"

  1. semut lelabah says:
    June 6, 2010 at 10:00 PM

    Sila tinggalkan komen selepas membaca...:)

  2. Balqis House says:
    June 7, 2010 at 1:49 AM

    menariknya..

  3. k says:
    June 23, 2010 at 2:19 AM

    baru hari ne, berkesempatan baca.

    memang menarik. ada unsur lucu terselit, juga bahasa yang mudah dan tenang. macam tak cukup lagi kupasan seorang kau neh. ehehehhe ;p memandai jer kan ckp.

    teruskan menulis! ^^

  4. k says:
    June 23, 2010 at 2:21 AM

    eh eh seorang kau pulak. seorang aku ... sah2 dah lewat, fikiran pon dah kemane ntah. ;p